17.6.09

KEPENTINGAN ILMU


Ilmu mampu kembalikan kemasyhuran peradaban, tamadun Islam
Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
KESEJAHTERAAN yang hakiki lahiriah dan batiniah, duniawi dan ukhrawi adalah antara agenda dan cita-cita luhur didambakan setiap manusia, masyarakat dan bangsa. Bahkan, sejak awal negara merdeka usaha setiap pemimpin ke arah pembinaan sebuah peradaban gemilang. Islam sebagai agama syumul tidak pernah menghalang umatnya membentuk peradaban cemerlang dalam hidup. Membina peradaban adalah dituntut terhadap setiap Muslim yang beriman kepada Allah. Hal ini kerana dunia adalah satu perjalanan yang harus dimanfaatkan dalam proses pengabdian kepada Allah dengan menyempurnakan tanggungjawab fardu ain dan kifayah secara sempurna, jujur, telus dan amanah.

Setiap umat itu tidak akan berjaya memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap dan pandangannya terhadap dunia tidak tepat seperti digariskan Allah dan Rasul-Nya kerana alam dan fenomena diciptakan dan ditundukkan Allah untuk khalifah di muka bumi ini. Justeru, penting bagi setiap Muslim diperlengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menguasai dan memanfaatkan dunia ini dengan sebaik-baiknya. Pendek kata, penting bagi umat Islam memahami dan menghayati Islam sebagai sistem kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan sebuah peradaban dicita-citakan. Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam al-Quran ada tiga ciri utama yang menjadi landasan utama kelahiran sebuah masyarakat sejahtera, kerajaan adil dan peradaban unggul.
Allah berfirman yang bermaksud: "Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah); Iaitu kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam); maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini; Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan mengamankan mereka daripada ketakutan." (Surah Quraisy, ayat 1-4) Intisari kandungan surah Quraisy mengungkapkan tiga ciri utama masyarakat sejahtera yang dinikmati kaum Quraisy satu ketika dulu. Pertama, setiap anggota masyarakat sentiasa beribadah kepada Allah dan menjauhkan diri daripada kesyirikan sama ada syirik terang mahupun syirik tersembunyi. Ini bermakna setiap Muslim seharusnya memahami konsep hidup sebagai suatu pengabdian kepada Allah, konsep kerja seharian sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan dunia ini dan kewajipan mencapai kekuatan dalam hidup sebagai jihad pada jalan Allah.. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah adalah kunci utama limpahan kurniaan Ilahi yang tidak terhitung, manakala syirik pula hanya akan menghancurkan pahala segala amal baik yang dilakukan.
Bukankah Allah sudah berfirman: "Dan sesungguhnya yang sudah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi terdahulu daripadamu: Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah), tentulah akan gugur amalmu dan engkau akan tetap menjadi dari orang yang rugi. (Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata dan hendaklah engkau menjadi dari orang yang bersyukur." (Surah al-Zumar, ayat 65-66) Kedua, kesejahteraan sesuatu bangsa wujud apabila mereka bebas daripada kelaparan dan kebuluran kerana keperluan hidup diperoleh oleh setiap anggota masyarakat. Dalam hal ini, masyarakat memerlukan kerajaan adil dan beramanah dalam menunaikan amanah kepemimpinan di bahu setiap pemimpin. Oleh itu, setiap pemimpin mesti berusaha mengutamakan kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dan kroni. Begitu juga kerajaan adil sentiasa menyediakan segala prasarana dan pelbagai kemudahan asas untuk kemaslahatan masyarakat. Kerajaan perlu memenuhi lima prinsip syariah iaitu menjaga, memartabatkan dan memperkasakan agama, akal, nyawa, harta dan keturunan. Akhirnya, ciri ketiga masyarakat yang sejahtera adalah anggota masyarakatnya bebas daripada ancaman rasa takut seperti takut kelaparan, takut menghadapi hari esok, takut menghadapi pelbagai cabaran hidup. Hal ini kerana hasil pengabdian Muslim yang ikhlas kepada Allah dan juga natijah pelaksanaan amanah Allah dengan sempurna. Dalam hal ini, setiap masyarakat perlu diberikan kefahaman Islam jelas yang membolehkan mereka menghayati dan sekali gus mewarisi wawasan peradaban unggul. Kehidupan berkualiti hanya dapat dicapai jika setiap manusia berusaha menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran di samping mengukuhkan ketrampilan akhlak terpuji. Mudah-mudahan ketiga-tiga ciri itu dapat dihayati dan seterusnya disemarakkan dalam setiap sendi kehidupan bangsa dalam usaha kita untuk membentuk kembali sebuah peradaban atau tamadun Islam yang pernah dirintis oleh Rasulullah SAW dan generasi sahabat selepasnya.